Tuesday, October 11, 2011

Sepatutnya kenaikan minimum gaji tahunan adalah 7%.



Assalamualaikum...

Baru-baru ini DSN telah mengumumkan skim gaji baru kakitangan kerajaan dari skim lama SSM kepada skim baru atau SBPA. Melalui skim ini, kenaikan gaji tahunan kakitangan awam dinaikkan dari 3%-4% setahun kepada 7%-13%. Juga memberi kelebihan kepada guru atau kakitangan awam yg lain yg ramai mempunyai atau mendapat gaji hampir ke 'dinding' atau gaji maksima. Banyak lagi pengumuman yg banyak memberi kelebihan kepada kakitangan awam termasuk bonus, had umur bersara, kenaikan gred dijamin dan macam2 lagi...

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa pada asasnya SSM hanya memberi kenaikan gaji tahunan sebanyak 3%-4% sahaja di mana ia sebenarnya sangat rendah berbanding pekerja swasta yang rata-rata menerima kenaikan 5%-10%. Jika dilihat dari sudut sosio ekonomi, apakah nilai 3%-4% itu sepadan dengan nilai kenaikan tahunan? Jika kita merujuk kepada kadar inflasi tahunan bermula pada tahun 2006 = 3.6%, 2007 = 2.0%, 2008 = 4.8%, 2009 = 4.9%, 2010 = 1.8% dan 2011 = 3.3% (semasa). Kadar inflasi jangka panjang negara pula pada kadar 2.9% setiap tahun.

Jika dibandingkan nilai kenaikan tahunan sebanyak 3% berbanding nilai inflasi jangka panjang iaitu 2.9%, maka akan didapati sebenarnya kenaikan tersebut tidak memberi sebarang nilai / kelebihan kepada kakitangan sektor awam. Tiada 'appreciation value' terhadap pengalaman bekerja selama tahun tersebut. Jika gaji pada tahun sebelum itu sebanyak RM2000, kenaikan 3% akan menjadi RM2060, dan jika dinilai dari segi inflasi semasa tidak terdapat sebarang keuntungan terhadap kenaikan RM60 tersebut kerana purata harga barangan keperluan harian telah naik sebanyak 2.9%. Pengalaman bekerja selama satu tahun yang penuh dengan tekanan, kerja keras, caci maki, peningkatan kualiti, prestasi dan sebagainya tidak begitu dihargai melalui pendapatan. Penurunan prestasi, demotivated, down syndrom, depressed, loew integriti akan segera atau mudah berjangkit di kalangan penjawat awam. Lebih-lebih lagi apabila melihat rakan mereka di sektor swasta mengalami kenaikan peratusan yang tinggi.

Oleh yang demikian, langkah kerajaan mengumumkan kenaikan tahunan kakitangan sektor awam daripada 3%-4% kepada 7%-13% adalah tepat dan tidak perlu dipersoal oleh banyak pihak. Ini adalah merujuk kepada kewajaran nilai pengalaman bekerja selama satu tahun itu untuk dihargai. Selama satu tahun banyak perkara baru dapat dipelajari atau cukup untuk menjadi mahir dalam sesuatu bidang. Seperti contoh, keupayaan seorang kerani atau jurutaip akan meningkat setiap tahun jika dinilai dari segi penghasilkan surat atau keupayaan untuk menyiapkan surat dalam sehari, seminggu, sebulan atau setahun jika dibandingkan dengan tahun yang lalu. Seorang tukang masak juga akan menjadi lebih cekap dan pandai memasak jika dibandingkan dengan keupayaannya pada setahun yang lalu. Oleh sebab itu, nilai pengalaman bekerja itu sepatutnya dihargai dan dibayar dengan kenaikan setimpal.

Begitu juga dengan sektor swasta. Adalah amat tidak wajar jika terdapat majikan yang tidak menaikkan gaji tahunan pekerja mereka atau hanya menaikkan gaji sekitar 3% setiap tahun. Para majikan seharusnya sedar kewajipan mereka kepada para pekerja untuk menghargai setiap pengalaman berharga yang dilalui oleh para pekerja mereka kerana ia merupakan aset kepada syarikat. "EXPERIENCE IS THE BEST TEACHER" , ungkapan yang pernah dinyatakan oleh seorang pemimpin ROMAN hebat iaitu Julius Caesar. Eleanor Roosevelt pula menulis "People grow through experience if they meet life honestly and courageously. This is how character is built". Merujuk kepada 2 ungkapan tersebut, amat jelas bahawa pengalaman amat penting dan mampu memberi kelebihan kepada sesebuah syarikat. 

Kesimpulannya, kepada para pekerja di luar sana yang makan gaji, sila semak kenaikan gaji tahunan anda... Kakitangan sektor awam telah mendapat hak mereka yang sepadan, di mana pula hak anda di sektor swasta berkenaan kenaikan gaji tahunan?


~M-M~

No comments:

Post a Comment